Sunday, May 10, 2009

Rebut peluang ceburi bidang ternakan

 Masyarakat terutamanya golongan belia yang masih menganggur disaran menceburi bidang pertanian dan penternakan yang dapat memberi pulangan yang lumayan.

Selain itu, mereka yang telah mengusahakan bidang itu secara sara diri juga boleh beralih kepada komersial untuk menambah pendapatan keluarga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan Desa dan Pertanian negeri, Amirudin Yusof berkata, orang ramai perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan hari ini untuk menceburi dan meningkatkan penghasilan produk pertanian dan ternakan negara.

Katanya, tanpa mengira latar belakang pelajaran, semua golongan masyarakat mampu menyumbang kepada bidang pertanian.

''Bidang pertanian ini mampu diceburi sesiapa sahaja sama ada yang berpelajaran tinggi atau sebaliknya tetapi perlulah mempunyai semangat yang tinggi.

''Mereka yang telah menceburinya pula jangan hanya melihatnya sebagai penanaman sayur-sayuran atau padi untuk kegunaan sara diri semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, mereka harus berusaha meningkatkan hasil untuk dijual bagi mendapat pulangan yang lebih baik.

''Penternakan juga termasuk dalam bidang pertanian seperti ternakan lintah yang semakin mendapat permintaan dengan pendapatan yang lumayan," katanya.

Beliau berkata, selain ternakan ayam, itik, puyuh, ikan keli dan haruan, penternakan lintah juga semakin popular dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pada masa ini.

''Saya lihat ternakan lintah, burung walit atau layang-layang dan cacing umpamanya, telah berjaya menjangkau ke pasaran luar negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan beliau terutamanya supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam suasana ekonomi yang tidak begitu baik ketika ini.

''Kalau ada tanah di kampung, baliklah dan manfaatkan setiap ruang tanah yang ada dengan tanaman dan ternakan sesuai daripada terus menganggur tanpa sebarang pendapatan," katanya.

Sunday, May 3, 2009

Panji-panji Kebesaran Anwar Dalam Pas

penulis:Adam Jalil

Pemilihan pucuk pimpinan baru Parti Islam se-Malaysia (Pas) akan datang hampir pasti menyaksikan kemenangan bergaya Husam Musa sebagai Timbalan Presiden.

Sungguhpun pelbagai nama telah disebut dan dicalonkan, namun akhirnya pemilihan tersebut antara dua sahaja iaitu antara YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang emwakili golongan Melayu Islam moderat dengan YB Husam Musa yang mewakili kumpulan Islam liberal dalam Pas.

Ustaz Nasharuddin telah dicop oleh sebahagian taksuban Pas sebagai pengkhianat jamaah kerana mengadakan perbincangan sulit dengan bekas Menteri Besar Selangor Dr. Mohamad Khir Toyo untuk mewujudkan kerajaan perpaduan BN-Pas di Selangor selepas keputusan pilihan raya lalu diumumkan.

Ustaz Nasharuddin juga dikatakan telah berusaha melakukan perkara yang sama di Perak demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu di kedua-dua negeri ini.

Seperti diketahui umum juga, ketika Presiden Pas, Haji Hadi Awang dan "orang kuat parti" Mustafa Ali bersetuju dengan perbincangan tersebut, kumpulan Islam Liberal dalam Pas seperti Husam, Takiyuddin, Kamaruddin Jaafar berjaya mempengaruhi Datuk Nik Aziz Nik Mat dan dewan Ulama untuk menolak agenda kumpulan islam moderat ini. 

Kumpulan Islam Liberal ini mewakili kepentingan agenda Anwar dalam Pas dan sentiasa berada dalam lingkungan Nik Aziz. 

Mereka sedar hala tuju Pas hanya ditentukan oleh Nik Aziz. Kepimpinan lain tiada pengaruh yang besar kecuali Nik Aziz. 

Nik Aziz telah membina satu aura yang cukup kuat dalam Pas sehinggakan keputusan beliau dianggap terbaik. Sesiapa yang dilihat ditentang atau tidak direstui oleh Nik Aziz maka hampir pasti akan kalah atau kehilangan pengaruh.

Demikianlah nasib Nasaruddin Mat Isa. Beliau tidak lagi dilihat sealiran dengan Nik Aziz. Sama ada benar atau tidak adalah persoalan lain. Namun sekurang-kurangnya itulah yang cuba digambarkan oleh kumpulan pro Anwar ini.

Barisan kepimpinan Pas akan datang bakal dibarisi oleh kumpulan pro Anwar atau pun dikenali sebagai puak Endrogan. 

Sebenarnya istilah endrogan tidak tepat kerana kumpulan pro Anwar dalam Pas ini sebenarnya sedang melacurkan Islam untuk kepentingan Anwar.

Kumpulan ini turut dianggotai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Jika pembaca masih ingat Khalid Samad inilah yang berucap dalam sebuah gereja di Shah Alam menyokong tuntutan kumpulan agama kristian untuk menggantikan perkataan Tuhan kepada Allah dalam bible bahasa Melayu mereka.

Ironinya, suatu ketika dahulu Pas Shah Alam juga yang membantah dan menentang pembinaan sebuah gereja tersebut di Shah Alam. Wang Anwar dan kuasa yang beliau dapat telah melupakan perjuangan asal Pas.

Anwar akan berhabis-habisan untuk memastikan orang-orangnya dalam Pas akan menang dalam pemilihan kali ini.

Mengapa Husam pasti menang? Selain sokongan Nik Aziz, Husam juga akan mendapat sokongan kewangan yang besar dari Anwar untuk kempen kali ini. Husam merupakan antara tokoh utama mengamalkan politik wang dalam pemilihan lalu. 

Nasharuddin pula dalam keadaan yang amat lemah. Beliau tidak mendapat sokongan Nik Aziz kerana sikapnya yang "kurang gemar" terhadap Anwar Ibrahim. 

Lebih penting beliau dikenali sebagai tokoh yang bersih dalam pemilihan Pas sejak dahulu lagi. Kemenangan beliau sebelum ini kerana beliau dilihat sebagai pemimpin muda Pas yang mempunyai karisma dan kredebiliti. 

Pemilihan Pas kali ini bukan lagi isu siapa yang akan membawa panji-panji perjuangan Islam atau parti tersebut. 

Isu kali ini ialah siapa yang bersedia membawa panji-panji Anwar Ibrahim maka beliaulah akan dimahkotakan sebagai generasi baru kepimpinan Pas.

Saturday, May 2, 2009

KENYATAAN AKHBAR DATUK IBRAHIM ALI, PRESIDEN PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)

1. PERKASA menghormati tindakan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan dengannya berkuat kuasa serta-merta tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu 22 April 2009.

2. PERKASA juga menginsafi bahawa tujuan tindakan tersebut adalah untuk membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Ini bermakna langkah ini dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.

3. PERKASA juga menghormati kenyataan kerajaan bahawa inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan kerana ianya dilaksanakan dibawah kawalseliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

4. Bagaimanapun PERKASA kesal kerana kerajaan memansuhkan syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan. Ini bermakna usahawan Bumiputera tertutup peluang menyertai sektor ini walaupun ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.

5. Memang mutakhir ini wujud segolongan usahawan Bumiputera yang berkemampuan untuk bersaing menerusi sistem yang terbuka. Tetapi, jumlah usahawan yang mampu berjaya menerusi sistem meritokrasi ini pastinya masih kecil dan belum menyeluruh.

6. Oleh itu, PERKASA bimbang bahawa keputusan kerajaan ini, walaupun demi untuk negara dan rakyat jelatanya, kemungkinan ianya menjejaskan majoriti usahawan Bumiputera di sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan ini tidak dapat dinafikan. PERKASA juga bimbang bahawa tindakan kerajaan ini menjadi permulaan kepada pemansuhan ekuiti 30 peratus sepenuhnya bagi sektor-sektor lain di masa akan datang.

7. Oleh itu, PERKASA berpendapat bahawa keputusan memansuhkan ekuiti 30 peratus dalam sektor perkhidmatan yang dilebralisasikan dua hari lalu wajar dikaji semula dengan seberapa segera. Sekurang-kurangnya kerajaan wajar menetapkan ekuiti yang yang lebih kecil daripada kadar 30 peratus sebelum ini. Pada waktu yang sama, kerajaan perlu menyatakan secara tegas bahawa tahap ekuiti 30 peratus yang dikenakan sebelum ini akan dikuatkuasakan semula sebaik sahaja ekonomi negara pulih seperti sedia kala.

8. PERKASA menyatakan pendapat serta mengemukakan saranan di atas kerana dalam apa jua keadaan adalah kurang wajar jika status Bumiputera di negara ini seolah-olah diremehkan. Tindakan seperti ini memberikan persepsi dan impak negatif kepada kesungguhan kerajaan mempertahankan program dan dasar affirmatifnya bagi masyarakat Bumiputera seluruhnya.

9. Sekian. Terima kasih dan salam takzim.


Ibrahim Ali
25 April 2009

AL-FATEHAH BUAT WANITA PERTAMA SARAWAK DAN TAKZIAH KEPADA KETUA MENTERI SARAWAK SEKELUARGA

Wanita Pertama Sarawak, Datuk Amar Puan Sri Hajah Dr. Laila Taib, isteri kepada Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, pulang ke rahmatullah di kediamannya di Demak Jaya, Kuching, jam 3.45 petang tadi. Almarhumah, 68, meninggalkan empat orang anak.

Sesungguhnya kepulangan Almarhumah adalah satu kehilangan yang besar. Kami mendoakan semoga roh Almarhumah akan sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan berada di kalangan orang yang solehah jua.

Pehin Seri Tan Sri Taib serta anak-anak, iaitu Jamelah, Mahmud, Rahman dan Hanifah serta keluarga masing-masing, saya sekeluarga amat bersedih di atas kembalinya Almarhumah ke rahmatullah. Sembah salam takziah dan salam takzim Pehin Seri Tan Sri Taib dan salam hormat kepada seluruh anggota keluarga. Ucapan Takziah khas buat Abang Azis & Pg Mariam. Al-fatehah!