Sunday, May 10, 2009

Rebut peluang ceburi bidang ternakan

 Masyarakat terutamanya golongan belia yang masih menganggur disaran menceburi bidang pertanian dan penternakan yang dapat memberi pulangan yang lumayan.

Selain itu, mereka yang telah mengusahakan bidang itu secara sara diri juga boleh beralih kepada komersial untuk menambah pendapatan keluarga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan Desa dan Pertanian negeri, Amirudin Yusof berkata, orang ramai perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan hari ini untuk menceburi dan meningkatkan penghasilan produk pertanian dan ternakan negara.

Katanya, tanpa mengira latar belakang pelajaran, semua golongan masyarakat mampu menyumbang kepada bidang pertanian.

''Bidang pertanian ini mampu diceburi sesiapa sahaja sama ada yang berpelajaran tinggi atau sebaliknya tetapi perlulah mempunyai semangat yang tinggi.

''Mereka yang telah menceburinya pula jangan hanya melihatnya sebagai penanaman sayur-sayuran atau padi untuk kegunaan sara diri semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, mereka harus berusaha meningkatkan hasil untuk dijual bagi mendapat pulangan yang lebih baik.

''Penternakan juga termasuk dalam bidang pertanian seperti ternakan lintah yang semakin mendapat permintaan dengan pendapatan yang lumayan," katanya.

Beliau berkata, selain ternakan ayam, itik, puyuh, ikan keli dan haruan, penternakan lintah juga semakin popular dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pada masa ini.

''Saya lihat ternakan lintah, burung walit atau layang-layang dan cacing umpamanya, telah berjaya menjangkau ke pasaran luar negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan beliau terutamanya supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam suasana ekonomi yang tidak begitu baik ketika ini.

''Kalau ada tanah di kampung, baliklah dan manfaatkan setiap ruang tanah yang ada dengan tanaman dan ternakan sesuai daripada terus menganggur tanpa sebarang pendapatan," katanya.

Sunday, May 3, 2009

Panji-panji Kebesaran Anwar Dalam Pas

penulis:Adam Jalil

Pemilihan pucuk pimpinan baru Parti Islam se-Malaysia (Pas) akan datang hampir pasti menyaksikan kemenangan bergaya Husam Musa sebagai Timbalan Presiden.

Sungguhpun pelbagai nama telah disebut dan dicalonkan, namun akhirnya pemilihan tersebut antara dua sahaja iaitu antara YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang emwakili golongan Melayu Islam moderat dengan YB Husam Musa yang mewakili kumpulan Islam liberal dalam Pas.

Ustaz Nasharuddin telah dicop oleh sebahagian taksuban Pas sebagai pengkhianat jamaah kerana mengadakan perbincangan sulit dengan bekas Menteri Besar Selangor Dr. Mohamad Khir Toyo untuk mewujudkan kerajaan perpaduan BN-Pas di Selangor selepas keputusan pilihan raya lalu diumumkan.

Ustaz Nasharuddin juga dikatakan telah berusaha melakukan perkara yang sama di Perak demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu di kedua-dua negeri ini.

Seperti diketahui umum juga, ketika Presiden Pas, Haji Hadi Awang dan "orang kuat parti" Mustafa Ali bersetuju dengan perbincangan tersebut, kumpulan Islam Liberal dalam Pas seperti Husam, Takiyuddin, Kamaruddin Jaafar berjaya mempengaruhi Datuk Nik Aziz Nik Mat dan dewan Ulama untuk menolak agenda kumpulan islam moderat ini. 

Kumpulan Islam Liberal ini mewakili kepentingan agenda Anwar dalam Pas dan sentiasa berada dalam lingkungan Nik Aziz. 

Mereka sedar hala tuju Pas hanya ditentukan oleh Nik Aziz. Kepimpinan lain tiada pengaruh yang besar kecuali Nik Aziz. 

Nik Aziz telah membina satu aura yang cukup kuat dalam Pas sehinggakan keputusan beliau dianggap terbaik. Sesiapa yang dilihat ditentang atau tidak direstui oleh Nik Aziz maka hampir pasti akan kalah atau kehilangan pengaruh.

Demikianlah nasib Nasaruddin Mat Isa. Beliau tidak lagi dilihat sealiran dengan Nik Aziz. Sama ada benar atau tidak adalah persoalan lain. Namun sekurang-kurangnya itulah yang cuba digambarkan oleh kumpulan pro Anwar ini.

Barisan kepimpinan Pas akan datang bakal dibarisi oleh kumpulan pro Anwar atau pun dikenali sebagai puak Endrogan. 

Sebenarnya istilah endrogan tidak tepat kerana kumpulan pro Anwar dalam Pas ini sebenarnya sedang melacurkan Islam untuk kepentingan Anwar.

Kumpulan ini turut dianggotai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Jika pembaca masih ingat Khalid Samad inilah yang berucap dalam sebuah gereja di Shah Alam menyokong tuntutan kumpulan agama kristian untuk menggantikan perkataan Tuhan kepada Allah dalam bible bahasa Melayu mereka.

Ironinya, suatu ketika dahulu Pas Shah Alam juga yang membantah dan menentang pembinaan sebuah gereja tersebut di Shah Alam. Wang Anwar dan kuasa yang beliau dapat telah melupakan perjuangan asal Pas.

Anwar akan berhabis-habisan untuk memastikan orang-orangnya dalam Pas akan menang dalam pemilihan kali ini.

Mengapa Husam pasti menang? Selain sokongan Nik Aziz, Husam juga akan mendapat sokongan kewangan yang besar dari Anwar untuk kempen kali ini. Husam merupakan antara tokoh utama mengamalkan politik wang dalam pemilihan lalu. 

Nasharuddin pula dalam keadaan yang amat lemah. Beliau tidak mendapat sokongan Nik Aziz kerana sikapnya yang "kurang gemar" terhadap Anwar Ibrahim. 

Lebih penting beliau dikenali sebagai tokoh yang bersih dalam pemilihan Pas sejak dahulu lagi. Kemenangan beliau sebelum ini kerana beliau dilihat sebagai pemimpin muda Pas yang mempunyai karisma dan kredebiliti. 

Pemilihan Pas kali ini bukan lagi isu siapa yang akan membawa panji-panji perjuangan Islam atau parti tersebut. 

Isu kali ini ialah siapa yang bersedia membawa panji-panji Anwar Ibrahim maka beliaulah akan dimahkotakan sebagai generasi baru kepimpinan Pas.

Saturday, May 2, 2009

KENYATAAN AKHBAR DATUK IBRAHIM ALI, PRESIDEN PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)

1. PERKASA menghormati tindakan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan dengannya berkuat kuasa serta-merta tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu 22 April 2009.

2. PERKASA juga menginsafi bahawa tujuan tindakan tersebut adalah untuk membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Ini bermakna langkah ini dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.

3. PERKASA juga menghormati kenyataan kerajaan bahawa inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan kerana ianya dilaksanakan dibawah kawalseliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

4. Bagaimanapun PERKASA kesal kerana kerajaan memansuhkan syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan. Ini bermakna usahawan Bumiputera tertutup peluang menyertai sektor ini walaupun ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.

5. Memang mutakhir ini wujud segolongan usahawan Bumiputera yang berkemampuan untuk bersaing menerusi sistem yang terbuka. Tetapi, jumlah usahawan yang mampu berjaya menerusi sistem meritokrasi ini pastinya masih kecil dan belum menyeluruh.

6. Oleh itu, PERKASA bimbang bahawa keputusan kerajaan ini, walaupun demi untuk negara dan rakyat jelatanya, kemungkinan ianya menjejaskan majoriti usahawan Bumiputera di sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan ini tidak dapat dinafikan. PERKASA juga bimbang bahawa tindakan kerajaan ini menjadi permulaan kepada pemansuhan ekuiti 30 peratus sepenuhnya bagi sektor-sektor lain di masa akan datang.

7. Oleh itu, PERKASA berpendapat bahawa keputusan memansuhkan ekuiti 30 peratus dalam sektor perkhidmatan yang dilebralisasikan dua hari lalu wajar dikaji semula dengan seberapa segera. Sekurang-kurangnya kerajaan wajar menetapkan ekuiti yang yang lebih kecil daripada kadar 30 peratus sebelum ini. Pada waktu yang sama, kerajaan perlu menyatakan secara tegas bahawa tahap ekuiti 30 peratus yang dikenakan sebelum ini akan dikuatkuasakan semula sebaik sahaja ekonomi negara pulih seperti sedia kala.

8. PERKASA menyatakan pendapat serta mengemukakan saranan di atas kerana dalam apa jua keadaan adalah kurang wajar jika status Bumiputera di negara ini seolah-olah diremehkan. Tindakan seperti ini memberikan persepsi dan impak negatif kepada kesungguhan kerajaan mempertahankan program dan dasar affirmatifnya bagi masyarakat Bumiputera seluruhnya.

9. Sekian. Terima kasih dan salam takzim.


Ibrahim Ali
25 April 2009

AL-FATEHAH BUAT WANITA PERTAMA SARAWAK DAN TAKZIAH KEPADA KETUA MENTERI SARAWAK SEKELUARGA

Wanita Pertama Sarawak, Datuk Amar Puan Sri Hajah Dr. Laila Taib, isteri kepada Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, pulang ke rahmatullah di kediamannya di Demak Jaya, Kuching, jam 3.45 petang tadi. Almarhumah, 68, meninggalkan empat orang anak.

Sesungguhnya kepulangan Almarhumah adalah satu kehilangan yang besar. Kami mendoakan semoga roh Almarhumah akan sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan berada di kalangan orang yang solehah jua.

Pehin Seri Tan Sri Taib serta anak-anak, iaitu Jamelah, Mahmud, Rahman dan Hanifah serta keluarga masing-masing, saya sekeluarga amat bersedih di atas kembalinya Almarhumah ke rahmatullah. Sembah salam takziah dan salam takzim Pehin Seri Tan Sri Taib dan salam hormat kepada seluruh anggota keluarga. Ucapan Takziah khas buat Abang Azis & Pg Mariam. Al-fatehah!

Monday, March 30, 2009

TAHNIAH BUAT KJ


Salam dan ucapan jutaan tahniah tak terhingga buat Y.B. Sdr. Khairy Jamaluddin (KJ) yang telah memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Walaupun sebelum ini KJ dihujani pelbagai tohmahan dan cemuhan oleh ahli UMNO sendiri, ternyata KJ masih lagi dapat bertahan dan bersabar. Beliau tidak pernah melatah dengan menangkis segala tohmahan, hanya sekali sekala sahaja menjawab pelbagai spekulasi yang sengaja diciptareka bagi menjatuhkan beliau.

Sejarah  penglibatan KJ dalam UMNO cukup unik. Beliau telah menarik perhatian Y.B. Datuk Sri Hishammuddin pada tahun 1999 ... iaitu sebelum beliau menjadi menantu Pak Lah lagi. Mungkin kerana bintangnya yg cukup bersinar, beliau menjadi cemuhan para pendengki di dalam UMNO sendiri.

Walaupun umur KJ baru sahaja 33 tahun, namun titi jawatan beliau dalam pemuda perlu kita tengok. Bermula sebagai Ajk dalam Pemuda UMNO Malaysia, kemudian terpilih sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia, dan seterusnya bertanding Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia serta kini naik kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Tertibnya diikuti.

Saya sendiri mula mengenali KJ pada tahun 2000, sewaktu beliau dilantik dalam Biro Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia. Pada waktu itu, saya merupakan Ahli Exco, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti Putra Malaysia. Waktu tersebut amat sukar, hanya 5 kerusi daripada 39 yang dipertandingkan adalah pro- Kerajaan, selebihnya 34 adalah pro pembangkang (PAS). Pada waktu menjadi Exco MPP, saya telah melibatkan diri dalam beberapa program Pemuda UMNO yang turut disertai oleh KJ. Dapatlah berbual dan beramah mesra dengan beliau. 

Sebelum pemilihan baru-baru ini, saya juga telah menghadirkan diri dalam beberapa perjumpaan KJ dengan para perwakilan pemuda, sempat juga saya berbual dengan beliau. 

KJ yang saya kenali 9 tahun dahulu (sebelum menjadi menantu PM), itu lah KJ yang saya kenali hari ini. Tiada sifat sombong sebagai menantu PM, tiada sifat angkuh, tetap "down to earth" seperti saya kenali dahulu! Tahniah KJ kerana masih berperwatakan seperti dahulu. Ini lah pemimpin yang kita cari.

Sesungguhnya Malaysia memerlukan pemimpin muda yang berjiwa kental, mudah didampingi dan berhemah seperti KJ. "Setiakawan"; itulah motto beliau. Memang beliau ingat akan kawan lama, seperti mana beliau masih ingat kepada saya hari ini.

TAHNIAH buat Chief KJ !!!

(Dr.) Ariff

Pemuda risau disisih penyokong KJ

Dalam kesibukan kempen tiga pilihanraya kecil sekarang, timbul kebimbangan di kalangan penyokong dua bekas calon ketua Pemuda Umno kemungkinan mereka bakal dipinggirkan oleh kumpulan ketua baru pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.

Dalam persaingan bagi jawatan ketua Pemuda Umno Minggu lalu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memperolehi undi kedua terbanyak (254), mengatasi seorang lagi calon Datuk Mukhriz Mahathir (232). 

Khairy menang dengan mendapat 304 undi.

Kemenangannya itu disambut dengan bantahan "boo" para perwakilan di perhimpunan Umno dan jeritan "rasuah" para penyokong dua calon yang tewas (foto atas). 

Susulan reaksi negatif tersebut, tindakan Pemuda Umno Selangor – dianggap penyokong kuat Dr Mohamad Khir – menghantar jentera kecil ke Bukit Gantang menimbulkan tanda tanya sama ada rasa marah terhadap Khairy belum reda.

Difahamkan, hanya sembilan daripada 22 bahagian pergerakan Pemuda dari Selangor dihantar membantu kempen calon Umno, Ismail Safian, di kawasan parlimen tersebut. 

Calon BN itu berdepan calon PAS Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, bekas menteri besar Perak, dan calon bebas Kamarul Ramizu Idris pada 7 April ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, ketua Pemuda Selangor, Shukor Idrus menjelaskan, mereka menghantar jentera dalam jumlah kecil kerana "kempen menggunakan jentera tempatan (Umno negeri) lebih berkesan".

"Kita tidak mahu menang sorak kampung tergadai. Jentera kita (Selangor) akan bertugas memantau terus di peti-peti undi," katanya, sambil menambah jenteranya memberikan lebih tumpuan merampas kerusi yang dimenangi PAS dalam pilihanraya umum lalu.

Diketuai Pemuda Umno Kuala Selangor, tambahnya, Pemuda negeri itu menghantar 36 ahlinya – atau empat wakil dari setiap bahagian – bagi bekerjasama dengan ahli akar umbi Umno di Perak.

Diminta mengulas rasa tidak berpuas hati penyokong Dr Mohamad Khir dan Mukhriz, beliau mengakui terdapat penyokong dua bekas calon itu yang masih “baran” tetapi, tambahnya, keadaan sudah beransur-ansur pulih.

"Kita harapkan KJ (Khairy) dan penyokongnya tidak melabelkan penyokong Dr Khir dan Mukhriz. KJ, kita yakin beliau (pemimpin) matang, tetapi penyokong beliau kena matang juga. 

"KJ kena nasihatkan penyokongnya,” kata Shukor, juga wakil rakyat Kuang.

Sementara exco baru Pemuda Umno, Lokman Noor Adam berkata, ketidakpuasan segelintir ahli pergerakan itu terhadap Khairy merupakan "fitrah manusia".

Bagaimanapun, katanya, apabila exco Pemuda bermesyuarat sehari selepas Khairy terpilih, mereka semua sepakat memberikan sokongan kepada kepimpinannya dan rasa tidak puas hati itu akan reda dengan sendirinya.

"Apabila yang di atas tidak ada masalah. Yang di bawah akan ikut," katanya, bekas setiausaha Pemuda PKR (dulu dikenali Parti Keadilan Nasional).

Lokman menjelaskan, kesediaan jentera pergerakan itu, setakat ini, di Bukit Gantang kira-kira 70 peratus.

Katanya, perkara itu disebabkan suasana pilihanraya kecil yang masuk hari kedua masih perlahan. Beliau percaya ia akan bertambah dari masa ke semasa.

Mengulas strategi kempen Pemuda Umno, beliau berkata, pergerakan itu cuba mengikis ahli Pemuda dengan "imej (mat) motor dan poster", sebaliknya turut melibatkan mereka dalam pelbagai jenis kempen.

"Kita percaya orang muda ada idea-idea baru yang juga boleh disumbangkan melalui pelbagai cara, seperti kempen menggunakan mulitimedia dan SMS," katanya, yang kini sedang berkempen di kawasan parlimen itu.

Sunday, March 15, 2009

MB, exco S'gor isytihar harta

Selangor hari ini mengumumkan pemilikan aset menteri besar dan barisan exconya dalam tempoh setahun sejak Mac 2008 di laman web rasmi kerajaan negeri. 

Laman web itu - www.selangor.gov.my - memuatkan maklumat aset selepas jam 6 petang ini.

Exco pelaburan dan perdagangan Teresa Kok mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM32,830.67, sementara jumlah tanggungannya RM2,246.92 sebulan.

Exco hal-ehwal agama Dr Hassan Ali pula RM17,722.08 (pendapatan) dan RM12,781 (tanggungan).

Exco pelancongan Elizabeth Wong, yang sedang bercuti susulan isu foto bogel, mendapat RM17,722.08 dan membayar hutang kad kredit RM2,000 sebulan.

Exco perumahan Iskandar Abdul Samad RM17,722.08 (pendapatan) dan RM2,527 (tanggungan).

Rodziah Ismail, exco kebajikan, RM18,122.08 (pendapatan) dan RM3,830.25 (tanggungan).

Ronnie Liu Tian Khiew, exco kerajaan tempatan, RM20,722.08 (pendapatan) dan RM4,657 (tanggungan).

Exco pertanian Yaakob Sapari mendapat RM17,722.08 dan menanggung RM1,598.99.

Exco kesihatan Dr Xavier Jayakumar RM17,722.08 (pendapatan) dan RM2,270 (tanggungan). 

Exco pendidikan Dr Halimah Ali mendapat RM17,722.08 dan menanggung RM7,238.50.

Semua maklumat pendapatan barisan exco ini tidak termasuk perolehan pasangan masing-masing.

Maklumat aset menteri besar sendiri bagaimanapun setakat 8.45 malam ini belum dimuatkan di laman web tersebut.

Perisytiharan itu dititahkan dalam ucapan Sultan Selangor sewaktu baginda merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) awal minggu ini.