Sunday, May 10, 2009

Rebut peluang ceburi bidang ternakan

 Masyarakat terutamanya golongan belia yang masih menganggur disaran menceburi bidang pertanian dan penternakan yang dapat memberi pulangan yang lumayan.

Selain itu, mereka yang telah mengusahakan bidang itu secara sara diri juga boleh beralih kepada komersial untuk menambah pendapatan keluarga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan Desa dan Pertanian negeri, Amirudin Yusof berkata, orang ramai perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan hari ini untuk menceburi dan meningkatkan penghasilan produk pertanian dan ternakan negara.

Katanya, tanpa mengira latar belakang pelajaran, semua golongan masyarakat mampu menyumbang kepada bidang pertanian.

''Bidang pertanian ini mampu diceburi sesiapa sahaja sama ada yang berpelajaran tinggi atau sebaliknya tetapi perlulah mempunyai semangat yang tinggi.

''Mereka yang telah menceburinya pula jangan hanya melihatnya sebagai penanaman sayur-sayuran atau padi untuk kegunaan sara diri semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, mereka harus berusaha meningkatkan hasil untuk dijual bagi mendapat pulangan yang lebih baik.

''Penternakan juga termasuk dalam bidang pertanian seperti ternakan lintah yang semakin mendapat permintaan dengan pendapatan yang lumayan," katanya.

Beliau berkata, selain ternakan ayam, itik, puyuh, ikan keli dan haruan, penternakan lintah juga semakin popular dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pada masa ini.

''Saya lihat ternakan lintah, burung walit atau layang-layang dan cacing umpamanya, telah berjaya menjangkau ke pasaran luar negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan beliau terutamanya supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam suasana ekonomi yang tidak begitu baik ketika ini.

''Kalau ada tanah di kampung, baliklah dan manfaatkan setiap ruang tanah yang ada dengan tanaman dan ternakan sesuai daripada terus menganggur tanpa sebarang pendapatan," katanya.

No comments:

Post a Comment