Sunday, March 15, 2009

6 didakwa hina Sultan, seorang mengaku bersalah


Seorang pembantu makmal mengaku bersalah menghina Sultan Azlan Shah melalui Internet dan didenda RM10,000.

Azrin Mohd Zain, 33, didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana "mengandungi isu kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat mengacau, mendera, menggugut atau mengganggu".

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksima RM50,000 atau hukumen penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Jika gagal membayar denda tersebut, Azrin berdepan dengan hukuman penjara lima bulan.

Di mahkamah yang sama, Muslim Ahmad didakwa atas tuduhan yang sama. Beliau bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Muslim dibebaskan dengan ikatjamin RM3,000. Kesnya akan disebut pada 8 April.

Manakala di Mahkamah Sesyen Butterworth, dua orang dihadapkan di mahkamah atas tuduhan yang sama. Mereka ialah Chan Hon Keong dan Khoo Hui Shuang.

Di Sabah, seorang pemilik kedai telefon bimbit didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu hari ini atas tuduhan memberi komen-komen dalam blog yang menjurus kepada perbuatan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Dalam pendakwaan kira-kira jam 9 pagi itu, tertuduh, Rutinin Suhaimin, 35, yang berasal dari Kundasang, Ranau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Beliau dibenarkan ikatjamin RM10,000 dengan deposit RM5,000 bersama dua penjamin. Kes itu akan dibicarakan pada 25 dan 26 Mei depan.

Manakala di Petaling Jaya pula, seorang juru ukur tanah berusia 36 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan berkaitan menghantar komen bersifat jelik dalam komen melalui internet untuk menghina Sultan Perak.

Menurut Utusan Online, Nor Hisham Osman didakwa telah menggunakan aplikasi iaitu internet melalui alamat Internet Protokol 118.101.116.160 secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelek sifatnya iaitu: ``..........,........``di http://books.dreambook.com.webper/dul1.html yang mempunyai pautan kepada laman web pejabat DYMM Sultan Perak iaitu www.sultan. perak.gov.my dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 12.34 tengah hari, 11 Februari lalu di No. 16-01-06, Blok 16 Pangsapuri Sri Indah, Taman Lestari Perdana, Sri Kembangan dekat sini.

Mahkamah membenarkan Nor Hisham yang diwakili peguam Edmund Bon dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 April ini.

No comments:

Post a Comment