Sunday, June 21, 2009

Kenapa Pas-DAP boleh, Pas-UMNO tak boleh?

SAYA terpanggil untuk bersama-sama memberi pandangan berhubung pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO kerana ia adalah satu titik permulaan yang sangat baik ke arah penyatuan umat Islam, khususnya orang Melayu di negara ini. 

Cukuplah selama ini Melayu berpecah kerana perbezaan ideologi politik. Sebaliknya carilah segera titik persamaan yang boleh mengembalikan kekuatan Melayu di tanah air tercinta ini.

Sebenarnya, titik persamaan utama mereka sudah terlalu jelas dan tak perlu dicari lagi. Ini kerana secara umum semua orang Melayu di Malaysia adalah beragama Islam. Maknanya, mereka menyembah satu Tuhan, Allah SWT, menghadap kiblat yang sama, Baitullah di Mekah, berpegang kepada ajaran kitab yang sama al-Quran dan berpenghulu yang sama, Nabi Muhammad SAW. Jadi, dari segi akidah atau kepercayaan, tidak ada sebab mereka tidak boleh bersatu.

Cuma mereka berpecah kerana ideologi politik. Melayu UMNO dan Melayu Pas. Kenapa harus terjadi begini? Sedangkan hakikatnya, kedua-dua parti memperjuangkan Islam dan dikuasai orang Islam. 

Di sinilah perlu wujudnya satu kesedaran yang sangat mudah untuk diperakui di kalangan seluruh umat Islam. UMNO dan Pas hanyalah parti politik, bukannya agama! Agama kita semua hanyalah satu, iaitu Islam. Sehubungan itu, sama ada kita menyertai Pas atau UMNO, kita tetap beragama Islam. Tidak ada hukum Islam yang menyatakan semua orang Islam wajib menyertai atau menyokong parti Pas.

Namun, apa yang berlaku selama ini, orang Pas berpendirian setiap orang Islam mesti menjadi ahli atau penyokong Pas. Kalau tidak, mereka bukan orang Islam. Apakah ertinya semua ini? Adakah orang Pas sudah beranggapan atau mahu menyamakan Pas itu dengan agama? Pas itu Islam dan Islam itu Pas? Kalau begitu, bagaimana dengan orang Islam di luar Malaysia? Adakah mereka juga tidak Islam kerana tidak menjadi ahli atau menyokong Pas? 

Hakikatnya, orang Islam tetap orang Islam, selagi mereka berpegang dan mengamalkan Rukun Islam. Ia tidak boleh dipertikaikan sama sekali seperti yang dilakukan orang Pas terhadap orang UMNO dan perkara ini amat jelas dalam al-Quran ayat 94 Surah An-Nisa yang bermaksud;

"Wahai orang yang beriman, apabila kamu pergi berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya) dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam dan mengucap dua Kalimat Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman", (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) mata benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). Janganlah kamu gelap mata pada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. 

Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam dan mengucap dua Kalimat Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmat-Nya kepada kamu. Oleh itu, selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu dan janganlah bertindak terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segalanya yang kamu lakukan."

Ayat di atas juga menyarankan umat Islam tidak boleh terburu-buru berprasangka buruk. Oleh itu, pemimpin Pas juga tidak harus terburu-buru berprasangka buruk dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan antara parti itu dan UMNO. 

Sebagai, umat Islam, mereka perlu memahami tuntutan ukhuwah Islamiah yang memberi keutamaan kepada perpaduan sesama ummah terlebih dahulu dan bukannya mendahulukan orang bukan Islam seperti yang berlaku dalam penubuhan kerajaan pakatan antara Pas dan DAP di Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

Dalam hubungan ini, saya ingin bertanya kepada pemimpin Pas, terutama Datuk Nik Aziz Nik Mat satu soalan:

"Yang manakah lebih baik, Pas bersatu dengan UMNO yang ahli dan pemimpinnya majoriti orang Melayu beragama Islam atau Pas bersatu dengan DAP yang ahli dan pemimpinnya majoriti orang yang terang-terang menentang status negara Islam dan kepemimpinan Islam di Malaysia?"

KHAIDIR AHMAD

Wednesday, June 10, 2009

Melayu Memang Amat Rindu Kepada Perpaduan

Gagasan kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh PAS adalah inisiatif optimistik. Ini kerana perpaduan siasah Melayu adalah teras kepada kemantapan siasah negara. Bila siasah Melayu kembali intim, bagai aur dengan tebing, lenyaplah kelompok oportunis yang selama ini melukut di tepi gantang atau menangguk di air keruh.

Hati pemimpin besar UMNO dan PAS kini hampir bertaut untuk merealisasikan gagasan ini. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, bersikap terbuka terhadap gagasan berkenaan. Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menegaskan, partinya tidak akan menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak kerana ia merupakan satu tuntutan dalam Islam (Utusan Malaysia 8.6.2009).

Hadi juga yakin gagasan tersebut mampu menyelesaikan masalah negara. Katanya, gagasan ini juga adalah untuk kebaikan kita semua yang sekarang begitu rapuh dari segi perpaduan (Utusan Malaysia 6.6.2009).

Lantaran itu, gagasan ini wajar disokong oleh orang Melayu yang memang amat merindui perpaduan tulen lagi abadi. Sokongan ini penting. Survival bangsa Melayu hanya dapat dikekalkan jika wujud kesatuan hati di antara sesama Melayu. Bangsa Melayu juga hanya boleh terselamat jika kuat. Dan, hanyalah boleh kuat jika bersatupadu (Datuk Onn Jaafar, 1.3.1946).

Oleh sebab itu, seluruh orang Melayu wajar juga mengiringi usaha merealisasikan gagasan ini dengan jutaan doa dan harapan. Cendikiawan Melayu perlu membantu proses mengartikulasikan gagasan ini dari segi roh, jiwa, semangat, falsafah dan formatnya.

Pihak-pihak yang berhasrat untuk membangkang, insaflah bahawa gagasan ini adalah demi kepentingan Melayu yang kebelakangan ini diprovokasikan kesabarannya dan dihiris jiwanya oleh sesetengan elemen bukan Melayu.

Kekuatan sesuatu bangsa bergantung kepada perpaduan. Kesediaan pemimpin parti-parti politik Melayu untuk bertemu dan bermusyawarah sudah lama ditunggu setelah pertarungan politik menjerumuskan masyarakat Melayu di negara ini ke gaung perpecahan yang membimbangkan (Mustapa Mohamed 2001:73).

Gagasan kerajaan perpaduan ini masih samar-samar. UMNO dan PAS, dengan bantuan intelektual Melayu, perlu menghalusi seluruh kaedah, konsep dan teori yang serasi. Mereka wajar merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Nabi. Mereka juga boleh melakukan kajian perbandingan berasaskan apa juga pandangan yang merujuk kepada gabungan serta kerjasama politik di seluruh dunia.

Banyak ruang yang perlu diterokai dan banyak aspek yang perlu didihalusi oleh UMNO dan PAS. Proses ini memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran paling maksimum.

Pertama, adakah kerajaan perpaduan ini bermatlamat untuk melakukan satu koreksi total terhadap segala kepincangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya relevan dengan tuntunan zaman mutakhir ini?

Kedua, adakah kerajaan pepaduan ini bertujuan untuk mendorong UMNO dan PAS supaya menjadi lebih dedikated, fokus dan sensitif kepada permasalahan pribumi Malaysia dalam konteks kemajmukan masyarakat Malaysia hari ini?

Ketiga, adakah penubuhan kerajaan perpaduan ini memerlukan satu emansipasi serta perubahan struktur yang radikal dalam organisasi UMNO dan PAS? Mungkinkah konsep kerajaan berkenaan memerlukan UMNO dan PAS dibubar dan dijelmakan semula menerusi satu wadah, imej, fokus, keutamaan, aspirasi, falsafah serta kombinasi aktor perjuangan yang baru?

Keempat, adakah kerajaan perpaduan ini merupakan kerajaan gabungan yang longgar atau satu ikatan yang erat seperti yang diamalkan oleh BN sejak 1 Julai 1974?

Kelima, bagaimanakah reaksi komponen bukan Melayu dalam BN mengenai gagasan ini? Bagaimana pula respons rakan seperjuangan PAS dalam PR mengenai gagasan yang sama?

Selain itu, wajar dipersetujui bentuk-bentuk manfaat, faedah dan ganjaran untuk semua pihak terbabit. Ini bukan soal remeh. Pengalaman di beberapa negara tertentu, soal-soal inilah yang lazimnya mencetuskan perbalahan antara komponen sesuatu gabungan sehingga menyebabkan keretakan dan perpecahan.

Dalam hal ini, UMNO, PAS dan BN wajar menyetujui prinsip-prinsip pembahagian kuasa di antara mereka. Contohnya, tidakkah PAS layak diberikan kerusi Timbalan Perdana Menteri Kedua? Kementerian manakah yang akan dikendalikan oleh menteri penuh daripada PAS?

Mungkinkah komponen BN akan mengizinkan UMNO dan PAS berperanan utama dalam mewujudkan pelbagai dasar sosio-ekonomi yang affirmatif dan lebih berorientasikan syara’? Apa pula ciri-ciri keseimbangan yang akan diwujudkan untuk mencerminkan kemajmukan Malaysia dalam konteks ini?

Sebagai strategi tempoh sederhana dan jangka panjang, UMNO dan PAS juga wajar mengemukakan satu blue-print bersama mengenai sosialisasi dan integrasi siasah bagi seluruh anggota mereka di peringkat akar umbi. Ini adalah untuk meleburkan sikap permusuhan siasah yang wujud selama ini supaya semangat ukhwah yang baru boleh ditransformasikan menjadi tenaga perjuangan yang jitu demi Islam dan Melayu.

Semua pandangan di atas hanyalah satu hipotesis. Bagaimanapun, ianya adalah berdasarkan observation peribadi saya terhadap kegagalan gabungan UMNO dan PAS dalam BN sebelum ini.

Contohnya, antara faktor utama yang menggagalkan perpaduan UMNO-PAS dalam BN sebelum ini adalah percakaran siasah yang wujud daripada rasa tidak puas hati mengenai pembahagian kerusi dalam sesuatu pilihan raya umum, pembahagian kerusi dalam kabinet, pembahagian jawatan di peringkat negeri dan daerah, serta petembungan sefera (spherre) pengaruh politik di peringkat akar umbi.

Oleh itu, soal pengaruh politik dan soal manfaat, faedah dan ganjaran ini wajar dihalusi secara tuntas dan rinci. Soal-soal strategik membabitkan orientasi, fokus serta falsafah BN yang baru juga perlu dibereskan secara telus dan jujur.

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara saudara kamu (yang bertelengkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat (Al-Qur’an, Al-Hujuraat 49:10). 

Sunday, May 10, 2009

Rebut peluang ceburi bidang ternakan

 Masyarakat terutamanya golongan belia yang masih menganggur disaran menceburi bidang pertanian dan penternakan yang dapat memberi pulangan yang lumayan.

Selain itu, mereka yang telah mengusahakan bidang itu secara sara diri juga boleh beralih kepada komersial untuk menambah pendapatan keluarga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan Desa dan Pertanian negeri, Amirudin Yusof berkata, orang ramai perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan hari ini untuk menceburi dan meningkatkan penghasilan produk pertanian dan ternakan negara.

Katanya, tanpa mengira latar belakang pelajaran, semua golongan masyarakat mampu menyumbang kepada bidang pertanian.

''Bidang pertanian ini mampu diceburi sesiapa sahaja sama ada yang berpelajaran tinggi atau sebaliknya tetapi perlulah mempunyai semangat yang tinggi.

''Mereka yang telah menceburinya pula jangan hanya melihatnya sebagai penanaman sayur-sayuran atau padi untuk kegunaan sara diri semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, mereka harus berusaha meningkatkan hasil untuk dijual bagi mendapat pulangan yang lebih baik.

''Penternakan juga termasuk dalam bidang pertanian seperti ternakan lintah yang semakin mendapat permintaan dengan pendapatan yang lumayan," katanya.

Beliau berkata, selain ternakan ayam, itik, puyuh, ikan keli dan haruan, penternakan lintah juga semakin popular dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pada masa ini.

''Saya lihat ternakan lintah, burung walit atau layang-layang dan cacing umpamanya, telah berjaya menjangkau ke pasaran luar negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan beliau terutamanya supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam suasana ekonomi yang tidak begitu baik ketika ini.

''Kalau ada tanah di kampung, baliklah dan manfaatkan setiap ruang tanah yang ada dengan tanaman dan ternakan sesuai daripada terus menganggur tanpa sebarang pendapatan," katanya.

Sunday, May 3, 2009

Panji-panji Kebesaran Anwar Dalam Pas

penulis:Adam Jalil

Pemilihan pucuk pimpinan baru Parti Islam se-Malaysia (Pas) akan datang hampir pasti menyaksikan kemenangan bergaya Husam Musa sebagai Timbalan Presiden.

Sungguhpun pelbagai nama telah disebut dan dicalonkan, namun akhirnya pemilihan tersebut antara dua sahaja iaitu antara YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang emwakili golongan Melayu Islam moderat dengan YB Husam Musa yang mewakili kumpulan Islam liberal dalam Pas.

Ustaz Nasharuddin telah dicop oleh sebahagian taksuban Pas sebagai pengkhianat jamaah kerana mengadakan perbincangan sulit dengan bekas Menteri Besar Selangor Dr. Mohamad Khir Toyo untuk mewujudkan kerajaan perpaduan BN-Pas di Selangor selepas keputusan pilihan raya lalu diumumkan.

Ustaz Nasharuddin juga dikatakan telah berusaha melakukan perkara yang sama di Perak demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu di kedua-dua negeri ini.

Seperti diketahui umum juga, ketika Presiden Pas, Haji Hadi Awang dan "orang kuat parti" Mustafa Ali bersetuju dengan perbincangan tersebut, kumpulan Islam Liberal dalam Pas seperti Husam, Takiyuddin, Kamaruddin Jaafar berjaya mempengaruhi Datuk Nik Aziz Nik Mat dan dewan Ulama untuk menolak agenda kumpulan islam moderat ini. 

Kumpulan Islam Liberal ini mewakili kepentingan agenda Anwar dalam Pas dan sentiasa berada dalam lingkungan Nik Aziz. 

Mereka sedar hala tuju Pas hanya ditentukan oleh Nik Aziz. Kepimpinan lain tiada pengaruh yang besar kecuali Nik Aziz. 

Nik Aziz telah membina satu aura yang cukup kuat dalam Pas sehinggakan keputusan beliau dianggap terbaik. Sesiapa yang dilihat ditentang atau tidak direstui oleh Nik Aziz maka hampir pasti akan kalah atau kehilangan pengaruh.

Demikianlah nasib Nasaruddin Mat Isa. Beliau tidak lagi dilihat sealiran dengan Nik Aziz. Sama ada benar atau tidak adalah persoalan lain. Namun sekurang-kurangnya itulah yang cuba digambarkan oleh kumpulan pro Anwar ini.

Barisan kepimpinan Pas akan datang bakal dibarisi oleh kumpulan pro Anwar atau pun dikenali sebagai puak Endrogan. 

Sebenarnya istilah endrogan tidak tepat kerana kumpulan pro Anwar dalam Pas ini sebenarnya sedang melacurkan Islam untuk kepentingan Anwar.

Kumpulan ini turut dianggotai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Jika pembaca masih ingat Khalid Samad inilah yang berucap dalam sebuah gereja di Shah Alam menyokong tuntutan kumpulan agama kristian untuk menggantikan perkataan Tuhan kepada Allah dalam bible bahasa Melayu mereka.

Ironinya, suatu ketika dahulu Pas Shah Alam juga yang membantah dan menentang pembinaan sebuah gereja tersebut di Shah Alam. Wang Anwar dan kuasa yang beliau dapat telah melupakan perjuangan asal Pas.

Anwar akan berhabis-habisan untuk memastikan orang-orangnya dalam Pas akan menang dalam pemilihan kali ini.

Mengapa Husam pasti menang? Selain sokongan Nik Aziz, Husam juga akan mendapat sokongan kewangan yang besar dari Anwar untuk kempen kali ini. Husam merupakan antara tokoh utama mengamalkan politik wang dalam pemilihan lalu. 

Nasharuddin pula dalam keadaan yang amat lemah. Beliau tidak mendapat sokongan Nik Aziz kerana sikapnya yang "kurang gemar" terhadap Anwar Ibrahim. 

Lebih penting beliau dikenali sebagai tokoh yang bersih dalam pemilihan Pas sejak dahulu lagi. Kemenangan beliau sebelum ini kerana beliau dilihat sebagai pemimpin muda Pas yang mempunyai karisma dan kredebiliti. 

Pemilihan Pas kali ini bukan lagi isu siapa yang akan membawa panji-panji perjuangan Islam atau parti tersebut. 

Isu kali ini ialah siapa yang bersedia membawa panji-panji Anwar Ibrahim maka beliaulah akan dimahkotakan sebagai generasi baru kepimpinan Pas.

Saturday, May 2, 2009

KENYATAAN AKHBAR DATUK IBRAHIM ALI, PRESIDEN PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)

1. PERKASA menghormati tindakan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan dengannya berkuat kuasa serta-merta tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu 22 April 2009.

2. PERKASA juga menginsafi bahawa tujuan tindakan tersebut adalah untuk membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Ini bermakna langkah ini dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.

3. PERKASA juga menghormati kenyataan kerajaan bahawa inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan kerana ianya dilaksanakan dibawah kawalseliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

4. Bagaimanapun PERKASA kesal kerana kerajaan memansuhkan syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan. Ini bermakna usahawan Bumiputera tertutup peluang menyertai sektor ini walaupun ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.

5. Memang mutakhir ini wujud segolongan usahawan Bumiputera yang berkemampuan untuk bersaing menerusi sistem yang terbuka. Tetapi, jumlah usahawan yang mampu berjaya menerusi sistem meritokrasi ini pastinya masih kecil dan belum menyeluruh.

6. Oleh itu, PERKASA bimbang bahawa keputusan kerajaan ini, walaupun demi untuk negara dan rakyat jelatanya, kemungkinan ianya menjejaskan majoriti usahawan Bumiputera di sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan ini tidak dapat dinafikan. PERKASA juga bimbang bahawa tindakan kerajaan ini menjadi permulaan kepada pemansuhan ekuiti 30 peratus sepenuhnya bagi sektor-sektor lain di masa akan datang.

7. Oleh itu, PERKASA berpendapat bahawa keputusan memansuhkan ekuiti 30 peratus dalam sektor perkhidmatan yang dilebralisasikan dua hari lalu wajar dikaji semula dengan seberapa segera. Sekurang-kurangnya kerajaan wajar menetapkan ekuiti yang yang lebih kecil daripada kadar 30 peratus sebelum ini. Pada waktu yang sama, kerajaan perlu menyatakan secara tegas bahawa tahap ekuiti 30 peratus yang dikenakan sebelum ini akan dikuatkuasakan semula sebaik sahaja ekonomi negara pulih seperti sedia kala.

8. PERKASA menyatakan pendapat serta mengemukakan saranan di atas kerana dalam apa jua keadaan adalah kurang wajar jika status Bumiputera di negara ini seolah-olah diremehkan. Tindakan seperti ini memberikan persepsi dan impak negatif kepada kesungguhan kerajaan mempertahankan program dan dasar affirmatifnya bagi masyarakat Bumiputera seluruhnya.

9. Sekian. Terima kasih dan salam takzim.


Ibrahim Ali
25 April 2009

AL-FATEHAH BUAT WANITA PERTAMA SARAWAK DAN TAKZIAH KEPADA KETUA MENTERI SARAWAK SEKELUARGA

Wanita Pertama Sarawak, Datuk Amar Puan Sri Hajah Dr. Laila Taib, isteri kepada Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, pulang ke rahmatullah di kediamannya di Demak Jaya, Kuching, jam 3.45 petang tadi. Almarhumah, 68, meninggalkan empat orang anak.

Sesungguhnya kepulangan Almarhumah adalah satu kehilangan yang besar. Kami mendoakan semoga roh Almarhumah akan sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan berada di kalangan orang yang solehah jua.

Pehin Seri Tan Sri Taib serta anak-anak, iaitu Jamelah, Mahmud, Rahman dan Hanifah serta keluarga masing-masing, saya sekeluarga amat bersedih di atas kembalinya Almarhumah ke rahmatullah. Sembah salam takziah dan salam takzim Pehin Seri Tan Sri Taib dan salam hormat kepada seluruh anggota keluarga. Ucapan Takziah khas buat Abang Azis & Pg Mariam. Al-fatehah!

Monday, March 30, 2009

TAHNIAH BUAT KJ


Salam dan ucapan jutaan tahniah tak terhingga buat Y.B. Sdr. Khairy Jamaluddin (KJ) yang telah memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Walaupun sebelum ini KJ dihujani pelbagai tohmahan dan cemuhan oleh ahli UMNO sendiri, ternyata KJ masih lagi dapat bertahan dan bersabar. Beliau tidak pernah melatah dengan menangkis segala tohmahan, hanya sekali sekala sahaja menjawab pelbagai spekulasi yang sengaja diciptareka bagi menjatuhkan beliau.

Sejarah  penglibatan KJ dalam UMNO cukup unik. Beliau telah menarik perhatian Y.B. Datuk Sri Hishammuddin pada tahun 1999 ... iaitu sebelum beliau menjadi menantu Pak Lah lagi. Mungkin kerana bintangnya yg cukup bersinar, beliau menjadi cemuhan para pendengki di dalam UMNO sendiri.

Walaupun umur KJ baru sahaja 33 tahun, namun titi jawatan beliau dalam pemuda perlu kita tengok. Bermula sebagai Ajk dalam Pemuda UMNO Malaysia, kemudian terpilih sebagai Exco Pemuda UMNO Malaysia, dan seterusnya bertanding Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia serta kini naik kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Tertibnya diikuti.

Saya sendiri mula mengenali KJ pada tahun 2000, sewaktu beliau dilantik dalam Biro Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia. Pada waktu itu, saya merupakan Ahli Exco, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti Putra Malaysia. Waktu tersebut amat sukar, hanya 5 kerusi daripada 39 yang dipertandingkan adalah pro- Kerajaan, selebihnya 34 adalah pro pembangkang (PAS). Pada waktu menjadi Exco MPP, saya telah melibatkan diri dalam beberapa program Pemuda UMNO yang turut disertai oleh KJ. Dapatlah berbual dan beramah mesra dengan beliau. 

Sebelum pemilihan baru-baru ini, saya juga telah menghadirkan diri dalam beberapa perjumpaan KJ dengan para perwakilan pemuda, sempat juga saya berbual dengan beliau. 

KJ yang saya kenali 9 tahun dahulu (sebelum menjadi menantu PM), itu lah KJ yang saya kenali hari ini. Tiada sifat sombong sebagai menantu PM, tiada sifat angkuh, tetap "down to earth" seperti saya kenali dahulu! Tahniah KJ kerana masih berperwatakan seperti dahulu. Ini lah pemimpin yang kita cari.

Sesungguhnya Malaysia memerlukan pemimpin muda yang berjiwa kental, mudah didampingi dan berhemah seperti KJ. "Setiakawan"; itulah motto beliau. Memang beliau ingat akan kawan lama, seperti mana beliau masih ingat kepada saya hari ini.

TAHNIAH buat Chief KJ !!!

(Dr.) Ariff